Seorang Yahudi masuk stadium habis dicerca dan dimaki. Seorang Yahudi menyepak bola di dalam stadium, heboh seMelaya sampaikan jadi kontroversi. Yang beribu-ribu umat Meleis di dalam stadium berperangai saling tak tumpah macam ‘Yahudi’ tidak pulak ditempelak dan dikeji.
Hai Meleis, ke’pandai’an kamu senantiasa membuatkan aku tidak kering gusi.
Jikalau kerakyatan Israel menyebabkan si Yahudi dilayan seperti tahi, sudah jelas menampakkan minda Meleis ini tidak matang dan berkualiti. Bukankah melabel semua rakyat Israel sebagai pembunuh dan pembuli, saling tak tumpah seperti menilai semua tok Arab sebagai pengebom berani mati? Nilailah seseorang atas sifat individualiti, lihat dengan mata hati, bukan dengan tumit di kaki.
Hai Meleis, ke’pandai’an kamu senantiasa membuatkan aku tidak kering gusi.
Sudah-sudahlah melayan perasaan benci dan lamunan teori konspirasi. Bolasepak itu sukan, perkara sekular, perkara duniawi. Janganlah menghingarkannya dengan agama, politik dan nasionalisme basi. Dan usahlah sibuk mencaci, memaki dan mengeji si Yahudi, jikalau kau pun masih menonton MTV, hari-hari makan di Mc’D. Hah, nabi-nabi juga ada yang berbangsa Yahudi, apa kau berani mencerca mereka seperti babi?
Hai Meleis, ke’pandai’an kamu senantiasa membuatkan aku tidak kering gusi.
Ini bukan masalah liberal, masalah ideologi, masalah simpati kepada Yahudi. Cuma terkadang penulis geli dengan si Meleis yang beranutan apati dan berakal seinci. Bukalah minda, x-ray hati, jagalah budi pekerti, jangan jadi buta tuli. Tiada agama di dunia yang mengajar pengikutnya mencerca dan mengeji, berperi akan kebencian yang tidak bertepi.
Hai Meleis, ke’pandai’an kamu senantiasa membuatkan aku tidak kering gusi.
Mahathir dan penganut ilmu konspirasi mesti tersenyum sampai nampak gigi, sampai luka gusi, terbahak hingga ke dinihari. Kerana formula kebencian mereka telah menjadi, sudah sebati. Menjadi darah daging, anutan mereka-mereka yang mengeji, mencaci si Yahudi penyepak bola ini.
Hai Meleis, ke’pandai’an kamu senantiasa membuatkan aku geli hati tahap infiniti.
Tak sabar rasanya hendak menonton ke’pandai’an yang akan kau tunjukkan di lain hari.
Note: The whole shebang - ‘Malaysians play down booing of Benayoun’.
Comments / Permalink / Tweet / Share on FB / 6 notes